Pusat Cemerlang Silat

Artikel 2 : Sikap Sedia Menghadapi Lawan

Harga: RM 1.70

Oleh : Pendita Dr. Anuar Abdul Wahab

Assalamualaikum, Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Penyayang, Selawat dan salam ditujukan khusus kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., sekalian sahabat dan keluarganya.

Syukur kepada Allah kerana dengan limpah dan Rahmatnya, kita dapat bertemu lagi di ruangan ‘ Bersama Seni Gayung Fatani’, kali ini terlebih dahulu eloklah kita berbicara mengenai ‘nilai’ dalam seni silat. Tanpa nilai kemanusiaan yang baik, silat tidak akan mendatangkan manfaat untuk masyarakat. Di antara niat tersebut ialah kesetiaan.

Kewujudan Seni Gayung Fatani adalah hasil kesetiaan para ahli terhadap aliran perguruan ini. Kesetiaan tidak dapat dinilai dengan ringgit. Kesetiaan terhasil dari niat hati dan usaha yang dilakukan. Kalau dikira ramai pesilat yang telah tamat daripada perguruan ini. Kini bertaraf pendekar menjadi guru, jurulatih, juara-juara emas bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, mereka tetap menjadi ahli yang setia. Mereka mengetahui bahawa di sebalik kesetiaan itu ada hikmahnya. Kemuliaan perguruan saling bergantung dengan kemuliaan ahlinya, begitu juga di sebaliknya. Kemasyuran pendekar adalah hasil ilmu perguruan.  Walaupun sedikit umpama setitis embun, kalau dinamakan ilmu tetap ilmu juga. Kalau dipelajari daripada seseorang hatta budak kecil sekalipun ia tetap guru juga. Pada asasnya ada yang memberi dan ada yang menerima. Kerana sebagai manusia biasa, kebijaksanaan didahului oleh kesetiaan. Tidak ada manusia biasa yang dilahirkan bijaksana tanpa berguru atau belajar. Salah satu amalan sikap orang bijaksana itu ialah kesetiaan. Oleh itu sesiapa yang telah bijaksana awaslah diri daripada kedatangan kejahilan. Kejahilan peruntuh akhlak dan peradaban manusia.

Dalam membicarakan dunia ilmu seni mempertahankan diri, maka  bangsa timur ini telah memiliki berbagai jenis seni mempertahankan diri. Di antara jenis seni mempertahankan diri yang istimewa ialah jenis yang dimiliki oleh rumpun bangsa Melayu yang mendiami daerah serantau nusantara iaitu Seni Silat. Seni Silat mempunyai nilai dan falsafah yang tersendiri sesuai dengan bangsa pengamalnya yang mengamalkan kebudayaan dan agama. Dalam perguruan Seni Gayung Fatani umpamanya unsure-unsur budaya dan agama ini kerap disejajarkan dalam asas penyelesaian masalah. Maknanya segala perbuatan haruslah terlebih dahulu diteliti supaya tidak bertentangan dengan adat budaya melayu dan tidak pula bercanggah dengan agama. Oleh itu silat tidak dapat dipisahkan dengan ciri budaya dan adat melayu. Seni mepertahankan diri yang dihasilkan oleh orang Melayu tidak akan dinamakan silat tanpa ciri budaya melayu.

Nilai dan falsafah membentuk pendirian dan pemikiran seseorang pendekar. Nilai berlandaskan Islam melahirkan akhlak yang mulia. Nilai sabar umpamanya merupakan asas kekuatan ilmu dan amal. Tanpa sabar seseorang tidak akan berupaya menghadapi sebarang cabaran. Kesabaran membolehkan seseorang membuat keputusan yang bijaksana dengan menggunakan akal fikiran. Kesabaran melahirkan nilai-nilai kemanusiaan yang boleh menghindar nafsu marah. Apabila hilang pertimbangan akibat marah, manusia akan terjerumus kelembah permusuhan dan kehancuran. Kehancuran umat manusia dari sejarahnya adalah bermula dari nafsu yang dendam, tamak, marah dan seumpamanya. Nafsu itu umpama api, kecil menjadi kawan dan besar bertukar lawan. Begitulah juga nafsu, nafsu yang besar dengan mudah mengatasi adat dan agama. Mengamalkan adat dan agama memerlukan kesetiaan dan kesabaran.

Seorang pendekar harus teliti dalam membuat keputusan kerana segala ucapan dan perbuatan yang dilakukan akan meninggalkan kesan kepada diri dan masyarakat. ‘‘Terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata buruk padahnya’’. Ketelitian boleh menghindarkan diri daripada tipu daya musuh. Sebagai contoh yang mudah, seseorang pendekar amat teliti dalam memilih senjata, tongkat, cincin dan sebagainya untuk dipakai. Kepada mereka, sekiranya senjata tidak bersesuaian atau umpamanya boleh mendatangkan kesusahan dan paling buruk makan tuan. Kalaupun tidak kerana tuah, kepada senjata yang tak cukup sukat yang dipakai dengan sipemakainya, boleh jadi sulit ketika menggunakannya ataupun tidak sajak ketika dipakai. Ketelitian ini tetap berlaku dalam memilih aliran perguruan yang diamalkan kerana seni silat merupakan ilmu yang ada hubungannya dengan jasmani dan rohani.

Ilmu itu dipelajari dan dikaji. Umpamanya ilmu seni silat dituntut dan diamalkan oleh seorang pendekar sehingga ke akhir hayatnya kerana setelah mengenali dan merasai hikmah yang tersurat dan tersirat. Zaman dahulu, jenis aliran perguruan ini umpamanya tidak mempunyai organisasi sempurna, hadiah lumayan dan sebagainya, tetapi ianya kekal sehingga kini. Guru-guru tua dan murid-murid tua kekal mengamal dan mengembangkan seni silat di gelanggang demi gelanggang. Hal ini berlaku kerana hikmah yang terdapat di sebalik seni silat itu sendiri. Kecualilah kepada mereka yang menuntut ilmu silat kerana udang di sebalik batu. Inilah lainnya dahulu dan sekarang. Sekarang kalau mahu maju haruslah ada nilai komersil. Paling tidak silat mesti setanding dan mempunyai nilai universal tetapi keaslian silat haruslah dijaga.

Kesetiaan penting dalam menuntut dan mengamalkan ilmu silat iaitu kesetiaan antara guru dan murid kerana silat merupakan ilmu rahsia membela atau mempertahankan diri. Murid setia kepada guru kerana guru punca ilmu dan guru setia kepada murid kerana jihadnya menentang kejahilan. Guru umpama harimau di hutan dan murid sebagai hutannya. Hutan tidak akan digeruni kalau tanpa harimau di dalamnya, manakala harimau tidak akan hebat tanpa hutan. Demikianlah perumpamaan orang menuntut ilmu. Dari kesetiaanlah lahirnya nilai-nilai murni seperti kejujuran, kesabaran, tanggungjawab, yakin taat, rajin, akhlak dan sebagainya. Mengamalkan kesetiaan perlu diasuh dengan sabar kerana apabila hilang kesetiaan dari diri segala nilai-nilai murni terbang seperti embun di pagi hari. Yang tinggal ialah perhubungan bermuka-muka, angguk ia percaya tidak.

Seperti yang telah disebutkan di atas tadi, setiap pesilat berusaha membentuk diri untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna. Tanpa akhlak yang mulia ilmu persilatan tidak bermakna. Bertambah buruk lagi kalau seni silat digunakan ke jalan yang salah, iaitu jalan yang bukan diamanahkan. Tidak sekali-kali apabila mempelajari ilmu persilatan baru mengenai lawan. Sesungguhnya dengan mempelajari seni silat, seseorang dapat mengenali kelemahan diri sendiri. Kelemahan manusia ada rahsia baik buruknya. Umpamanya baik kelemahan itu akan menyebabkan seseorang itu penakut dan dayus. Pesilat diajar untuk membina diri mengikut kemampuan, membela diri mengikut keadaan. Selagi ada ikhtiar pesilat dituntut berusaha. Sedia berdikari dan bertangungjawab menjaga keselamatan diri, maruah keluarga, harta, kepentingan bangsa dan negara. Kalau tanggungjawab diri sendiri diabaikan dan diberikan kepada orang lain untuk menguruskannya, kelak kitalah akan menjadi hamba orang.

Nilai kesetiaan dalam silat menjadikan pesilat menjadikan pesilat menyedari tanggungjawab terhadap perguruan sebagai punca ilmu persilatan, diri, masyarakat dan negaranya. Kesetiaan itu kejujuran dan kesabaran yang membentuk diri lebih teliti untuk kehidupan yang sejahtera.

Untuk membaca keseluruhan artikel silat ini sila buat bayaran melalui:

Klik di sini menggunakan online banking, mesin ATM atau direct deposit.

Klik di sini menggunakan kredit kad.



[[T_F]]Data Leak Prevention – Data Security Solutions – Information Theft Protection, Detection and Prevention Software Productstracefusion_signature=79d84aaf496daf035c839aab4e9dceadd8ea53c12b1909740fd55dd87dee7f4bfc976c096c2b839da9211f22828cc8892429dbb121acb56f29b06482ac9e72337ec538d1b88300b8d9e434642028d58041ac1850d85432964bd00685d5f038a0600df1fece04586d976f9dc4bf9c350e05e19b937a8d7d0fbf6e669e6852744e58663957319073b9fe3bf10ed6ac1e262d0dc02a785f484cef1e7ae4592686da32e472f222b3cf995e08b8a986e046a6c9a8156e6bf0096190eed2aafcd5c8453d9d29cc02a5cfcf145551274e830bb3738d469ed739cb150d7162c63d5a55125714a6f747daff0a57a266c37c8a66c29986b0cdd6cc8197328e5d0724096093ab45bf304364c46caa9b92d9051822c74cbdb3b73582e2e852dfc340a9ce85836d5a9a43f65d82f5400559b28f9f40ab096e88c225ad54be07d8ebc3dc3427755f9b3200888e50bea82e1626f4ecffb926e7ffa80610aadc0c38cee6b63f14cc45d7588252d7a2c4dd32e25a05bad813fc503013b632594d0570b771146e8fb30549148d88c0be013c21fd0528c030f14e2cd7aceb833506186d04ce403819e052c5aa22f4afa6c3bdbee6342a790661fd31410bb43d712d3bca61676f2846a01aaa0ad417d60d6d2465a74555126ad4387a5a57d9480b2515bc872b93d0401af876df7487c5df748623[[T_F]]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *